Amalkan tips ini bagi membina persahabatan yang sihat..
Bersikap terbuka. Bagaimana kamu boleh membina persahabatan yang sihat
jika di dalam hati masing-masing ada menyimpan rasa dendam atau rasa bersalah
antara satu sama lain. Berbincanglah dengan sahabat tentang apa jua masalah
yang mengganggu hubungan persahabatan kamu secara terbuka. Pilihlah waktu yang
tepat untuk berbincang.
Layani sahabat kamu sepertimana kamu ingin dilayani olehnya. Jadi, bila
kamu ingin si sahabat ada di samping kamu di saat kamu berduka, adalah lebih
baik jika kamu juga melakukan perkara yang sama terhadap dirinya terlebih
dahulu.
Kamu perlu sedar tentang hakikat bahawa tidak ada manusia yang sempurna
di muka bumi ini. Menerima kekurangan antara satu sama lain adalah kunci
persahabatan yang terbaik. Tapi itu bukan bererti kamu boleh mencuba untuk
membantu sahabat memperbaiki kekurangan yang mungkin ada pada dirinya itu dan
begitu juga sebaliknya. Kamu juga harus bersedia menerima kritikan yang
membina.
Hargai pendapat antara satu sama lain. Tidak salah jika sesekali
timbulnya perbezaan pendapat mahupun pandangan di antara satu sama lain.
Asalkan kamu dan sahabat bijak berkompromi. Itu sudah memadai demi mencari kata
sepakat.
Sahabat bukanlah orang yang akan mendampingi kamu selama 24 jam dan 7
hari seminggu. Layan sahabat seperti kamu sedang menggenggam pasir di tangan.
Jangan pernak berfikir atau terlalu berharap si sahabat akan selalu berada di
sisi kamu. Sahabat juga memiliki kehidupannya sendiri. Jadi jangan cepat rasa
tersisih ketika sahabat sedang sibuk dengan keluarga ataupun rakan-rakan zaman
sekolahnya dahulu.
Komunikasi. Perkara yang sering dipandang mudah namun hakikatnya perkara
inilah yang harus diutamakan.Ada kalanya mungkin berlaku salah faham di antara
kamu dan sahabat berpunca dari masalah komunikasi ini. Sekiranya ingin
menasihati gunakanlah cara terhalus agar nasihat dapat disampaikan tanpa perlu
mengguris hati sahabat kita.
Kamu dan sahabat perlu seiring sejalan agar masing-masing dapat
membina hubungan yang lebih sihat.Sebaik-baiknya kamu bersederhana sahaja dalam
apa-apa hal yang melibatkan hubungan persahabatan kamu berdua. Jika kamu sering
tidak menepati janji dengan sahabat, cuba kamu ubah sikap tersebut. Kerana
sahabat boleh berubah menjadi bosan dengan sikap kamu sekiranya kamu terus
bersikap demikian. Begitu juga sebaliknya.
Jangan biarkan persahabatan retak disebabkan kehadiran seorang kekasih.
Janganlah retakkan hubungan kerana kamu dan sahabat menyukai individu yang
sama. Masih ramai lagi lelaki/perempuan di luar sana. Jadi tidak perlu sampai
berebut-rebut membawa haluan masing-masing.